MENCARI HUJAH UNTUK BERHIJRAH

“Apa erti saya menganut Islam?”, tidakkah soalan itu soalan yang tidak patut ditanya?

Tidak masuk akal untuk seseorang itu menjadi Muslim tetapi belum pernah memikirkan erti keIslamannya. Memilih sesuatu tanpa mengetahui apa yang dipilih?

Tidak… bukan begitu soalannya. Selama ini tidak pernah pun membuat pilihan, melainkan segalanya diterima secara kebetulan. Islam warisan. Islam yang turun dari emak ke anak, sebagaimana turunnya warna mata dan kerinting rambut.

Tanpa pernah memilih Islam, seorang Muslim mungkin menjadi musuh kepada keIslamannya sendiri. Menjadi perosak kepada agama yang dimeterakan ke pengenalan dirinya. Dia bukan sahaja gagal menikmati Islam yang dianutinya, malah dia mungkin sampai menganggap racun keIslamannya lantas meracuni orang lain dengan perbuatan-perbuatannya yang menyesatkan persepsi orang lain tentang erti Islam yang sebenar.

Sulitnya lagi, menjawab persoalan “apa erti saya menganut Islam” bukan pada perkataan dan penjelasan lisan, tetapi melalui perbuatan.

Perbuatan kepada Tuhan

Perbuatan kepada sesama insan

Perbuatan kepada alam

Perbuatan kepada pekerjaan dan aktiviti seharian

Kesemua jawapan tentang “apa erti saya menganut Islam”, jawapannya diungkap pada perbuatan. Apa erti saya menganut Islam adalah persoalan yang mengkritik perbuatan berdasarkan kepercayaan. Apa yang kamu percaya, dan apakah kesan kepercayaan kamu kepada perbuatan seharianmu.

PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN

Islam itu penyerahan…

Islam itu ketundukan…

Islam itu kesejahteraan…

Islam itu adalah penyerahan dan ketundukan yang menghasilkan kesejahteraan.

Soalnya, kepada apakah seorang Muslim itu berserah dan tunduk akur? Kesejahteraan apakah yang dicarinya dalam kehidupan ini.

Secara cliché, seorang Muslim berkata, “sebagai Muslim, saya berserah dan tunduk kepada Allah dan dengan perbuatan itu berhasillah saya mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di Akhirat”.

Sedap jawapannya, menepati skema ukuran kertas jawapan. Tetapi terjawabkah persoalan kehidupannya dengan jawapan sebegitu di atas kertas jawapan? Jika begitu tepat seorang Muslim mendefiniskan keIslamannya sebagai tunduk dan berserah kepada Tuhan, mengapakah kesejahteraan hilang dari dunia Muslim zaman berzaman? Mengapakah segala yang sakit dan tenat itu kita temui dalam catatan kehidupan Muslim yang kebelakangan?

Teringat saya pada satu persoalan yang pernah dilontarkan kepada saya:

“Saya hairan apabila ustaz Fathi Yakan begitu yakin menyebut bahawa masa depan adalah milik Islam. Kenapa saya tidak memiliki keyakinan yang sama?”, luah seorang sahabat saya di MRSM Taiping. Ketika itu silibus usrah ditambah dengan Buku “Apa Erti Saya Menganut Islam” karangan Ustaz Fathi Yakan.

Ya, hingga begitu sekali seorang Muslim menimbulkan pertanyaan. Saya tidak menyalahkan penyoal dan soalan kerana ia adalah pertanyaan yang tulen. Pertanyaan yang memberikan kesimpulan bahawa hanya membaca  bukan jawapan penuh kepada menjawab persoalan APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM… bahawa dua muka surat tulisan Fathi Yakan tentang “meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam” adalah jauh dari upaya menjustifikasi ucapan-ucapan kita agar bukan sekadar slogan dan retorik angan-angan.

HAKIKAT PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN

Allah SWT tidak akan menjelma lantas manusia yang sujud di ‘kaki’-Nya boleh mendakwa saya telah tunduk dan berserah kepada Tuhan. Maka bagaimanakah seorang manusia itu dengan mudah boleh berkata, saya telah tunduk kepada Dia?

Ya… maka manusia mesti lebih kritis dalam menjawab dan meyakini jawapannya.

Mari kita telusuri bual bicara saya ketika saya menyampaikan tazkirah  Subuh di MRSM Taiping:

“Pagi ini, kita akan berkongsi tentang satu kisah, Pak Haji dan Ah Chong, tentang APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM?,” muqaddimah ketika tazkirah.

Rakan-rakan mula menunjukkan muka berminat mereka. Semangat ingin tahu yang tinggi.

“Ceritanya begini:

Alkisahnya di sebuah kampung ada 2 orang petani yang menanam jagung dan menjualnya bagi mendapatkan wang pendapatan. 2 orang petani itu ialah Pak Haji dan Ah Chong. Kedua-dua petani ini memiliki gaya hidup yang berbeza.

Kebun Pak Haji terletak di tepi masjid. Pak Haji akan bangun awal untuk menunaikan solat subuh. Beliau beriktikaf di masjid hingga dhuha dan akan turun ke kebun pada jam 8 pagi. Pada jam 8 pagi, Pak Haji akan menanam butir jagung. Setiap barisan yang ditanam, Pak Haji akan berhenti dan menunaikan solat sunat 2 rakaat kemudian menyambung kembali kerjanya.
Pada pendapat anda, baik tidak Pak Haji ni? Semestinya kebunnya akan subur dan dia akan mendapat untung.
Kebun Ah Chong pula terletak di hujung kampung di sebelah tanah perkuburan jauh dari orang kampung. Ah Chong akan bangun seawal 6 pagi dan terus menanam jagung. Beliau akan membersihkan kebun dan menyiram tanaman setiap pagi.
Kebun Ah Chong pula terletak di hujung kampung di sebelah tanah perkuburan jauh dari orang kampung. Ah Chong akan bangun seawal 6 pagi dan terus menanam jagung. Beliau akan membersihkan kebun dan menyiram tanaman setiap pagi. Apa pula pendapat anda pada Ah Chong.
Tiba pada musimnya, kebun Ah Chong sangat subur dan beliau mendapat keuntungan yang banyak. Kebun Pak Haji hanya mendapat hasil “cukup-cukup makan”. Apakah ini adil? Pak Haji yang beragama Islam dan sangat taat akan perintah Tuhan dan sering melakukan amalan sunat manakala Ah Chong bukan beragama Islam,”  cerita saya pada mereka. Mengangguk mereka itu.
“Soalnya, siapakah yang menumbuhkan jagung?” soal saya.
“Allah!” jawab mereka.
“Soalnya siapakah antara mereka berdua yang menyembah Allah?” soal saya lagi.
“Pak Hajilah!” bergema suara mereka.

Mengapa Allah tumbuhkan pokok jagung Ah Chong dan bukannya pokok jagung Pak Haji?

Mengapakah sebagai seorang pekebun jagung, Ah Chong yang beroleh sejahtera dengan hasil tanaman yang lumayan? Sedangkan Pak Haji terus papa dan resah dengan keperluan hidup yang tidak pernah cukup?

Apakah Allah ini tidak adil?

MUSLIM DI LADANG JAGUNG

“Jika Muslim itu bermaksud tunduk dan berserah kepada Allah, siapakah yang Muslim di medan menanam jagung ini? Pak Haji atau Ah Chong?” soal saya.

“Mungkin soalannya seperti suatu permainan, tetapi saya ingatkan kembali kenyataan Muhammad Abduh sekembalinya dia dari pembuangan di Barat. Kata Muhammad Abduh:

“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”

terang saya kepada mereka. Inilah pencerahannya.

Apakah ketentuan Allah SWT terhadap pokok jagung? Apakah sistem Allah dalam bercucuk tanam? Bagaimanakah ‘cara kerja’ Khaliq terhadap makhluq bernama jagung? Apakah Allah membuat suatu sistem bahawa untuk jagung tumbuh subur ia memerlukan kepada zikir yang ma’thur dari nas al-Quran dan al-Sunnah? Apakah kesuburan jagung ditentukan oleh Allah SWT pada besarnya serban atau pada singkatnya jubah? Bagaimanakah caranya manusia menyembah Allah dalam perbuatan menanam jagung?

Ketentuan Allah pada teknik menyuburkan tanaman jagung ialah pada kualiti benihnya, cara jagung ditanam, jenis baja, kaedah menjaga pokoknya… yang kesemuanya dihimpun dalam satu ilmu bernama sains pertanian.

Siapakah yang tunduk kepada Allah dalam sains pertanian?

Jawapannya… Ah Chong.

Ah Chong yang patuh kepada hukum alam, kepada hukum sains pertanian… kepada Sunnatullah (cara kerja Allah).

Meminjam kata-kata Muhammad Abduh, maka Ah Chong adalah ‘muslim’ tanpa Islam di ladang jagungnya.

Pak Haji itu pulalah yang kosong makna Islamnya kerana dia taat di atas sejadah, namun ‘kufur’ di medan kerja. Allah, Allah!!!

PATUHLAH KEPADA ALLAH SECARA KESULURUHAN

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Patuhlah kepada Allah, dengan mentaati syariatullah dan sunnatullah.  Sering kali kali kita dengar, “mengapa umat Islam tidak berjaya sedangkan kaum lain lebih berjaya?”

Jawapan penyedap hati, “Umat Islam akan berjaya di akhirat nanti, orang kafir berjaya di dunia sahaja, tetapi rugi di akhirat.”

Tidakkah Abdur Rahman Bin Auf itu berjaya di dunia dan akhirat? Perniagaan maju, solatnya bermutu. Jutawan, serta dermawan.

Adakah Perang Badar dimenangi oleh umat Islam hanya kerana doa dan solat malam mereka semata-mata? Tidak, tetapi mereka telah menawan telaga terlebih dahulu sebelum pihak musuh.

Bukalah minda dan pemikiran kita.  Mind is like parachute works best when is open.

PERATURAN YANG MENYELURUH

Solat seperti kita melihat Nabi SAW bersolat

Memperelokkan sembelihan dengan menggunakan pisau yang tajam

Keluasan ilmu pada teknik menanam tamar, “kamu lebih tahu akan urusan duniamu”… kesemuanya diungkapkan pada perintah Syariatullah, dan keluasan ruang untuk penerokaan sains dan Sunnatullah…

APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM?

Iaitulah pada menghasilkan Muslim yang mematuhi sains yang menafsirkan sistem Allah dalam hubungannya dengan alam dan sesama insan.

iaitulah pada menghasilkan Muslim yang mematuhi syariat yang menafsirkan sistem Allah dalam hubungannya dengan Tuhan pencipta alam dan insan.

Hidup jadi lebih bermakna apabila kita benar muslim pada perkataan, perbuatan dan iktikad.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: