MENCARI HUJAH UNTUK BERHIJRAH

Karamah Pulang Dari Makkah

Makkah Yang Barakah

Pulang dari prep malam itu, fikiran saya sedikit terganggu. Berkecamuk dengan pelbagai rasa. Fikiran ini ligat berputar mencari suatu kecerahan.

Masih terngiang-ngiang apa yang dibualkan oleh sekumpulan pelajar di kelas saya.

“Banyak keajaiban berlaku kau tahu. Pak cik itu bila di Makkah, senang saja dapat kucup Hajarul Aswad. Macam ada orang yang menolaknya dari belakang. Mudah. Kucup berapa kali dia nak, cakap je,” ceritanya bersungguh.

“Wah, hebatnya! Orang lain pun susah nak kucup Hajarul Aswad, pak cik tu senang je. Walilah tu,” balas seorang rakan yang lain.

Saya hanya memasang telinga. Mendengar perbualan yang “panas” itu.

Tak lama kemudian, dia menambah, “Insya-Allah, aku dengar, mereka nak pergi haji, Makkah lagi tahun hadapan.”

Berdasarkan perbualan mereka itu, jelas pak cik itu seorang yang kaya. Entahlah profession apa, bukan soalnya.

Namun, perbualan singkat itu, mengingatkan saya kisah “pergaduhan” di tepi Ka’abah hanya semata-mata untuk mencium batu itu. Perbualan itu juga mengingatkan saya tentang kisah Imam Hassan Al Banna dalam Jiwa Da’ie Otak Faqih yang dinukilkan oleh Ustaz Hasrizal.

Dalam hati saya tertanya-tanya, bagaimana agaknya jika golongan Muhajirin dan Ansar melihat perlakuan umat yang menggadaikan soal ukhuwah yang wajib hanya kerana amal sunat mencium Hajarul Aswad. Teringat pula teguran Dr. Yusuf Al-Qaradawi tentang susunan keutamaan amal dalam Fiqh al-Awlawiyyatnya. Betapa tidak tepatnya sikap kebanyakan haji berkali-kali sedangkan masih umat Islam miskin yang melarat, pelajar yang kekurangan dana dan institusi Islam yang goyah kerana ketandusan biaya. Itu yang lebih utama dibantu!

ANEH

“Ada lagi cerita best ni. Pak cik tu kan, dia letih dan dahaga selepas tawaf, tiba-tiba ada seorang lelaki yang berwajah jernih menghulurkan dia segelas air zam zam. Yang powernya, lelaki itu hilang secara tiba-tiba.”

“Kan aku dah cakap. Wali je dapat kelebihan macam tu.” balas rakanya.

“Aku nak jadi macam pak cik tu lah. Dapat karamah,” azam salah seorang dari mereka.

Dialog yang saya dengar ketika di maktab. Masih lagi saya teringat. Cuma, siapa yang membicarakan, tidaklah saya ingat dan ambil tahu. Terasa aneh dalam hati. Betapa tersilapnya pemahaman masyarakat tentang kebaikan. Sering kali apa yang didakwa “keajaiban” menenggelamkan kebaikan yang didasarkan oleh nas yang lebih jelas dan shahih. Bukankah Rasulullah SAW menegaskan bahawa tangan yang di atas itu (memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima)?

Pada pandangan saya, tentulah menghulurkan air kepada manusia yang keletihan dan kehausan itu lebih utama berbanding menerima daripada orang lain yang menghulurnya kepada kita.

Sepatutnya kita berazam menjadi pemberi, bukan penerima. Teringat saya kepada kata-kata hikmah Ustaz Hasrizal a.k.a Abu Saif, ERTI HIDUP PADA MEMBERI.

HAJI BERKALI-KALI

Kisah "Ajaib"

Sering juga saya terbaca di dada akhbar betapa ramai tokoh terkenal “berulang-alik” ke Makkah. Mengerjakan haji dan umrah berkali-kali, tetapi sayangnya, impaknya, semacam tidak ada. Sedangkan yang menjadi tujuan ibadah, (sama ada solat, zakat, puasa, haji) adalah kebersihan hati. Apabila hati telah bersih, pasti ada kesan pada perbuatan. Kita akan terdorong kepada kebaikan.

Namun, sebaliknya pula yang berlaku. Yang mendedahkan aurat terus mendedahkan aurat. Profesion yang bergelumang dengan pergaulan bebas dan maksiat diteruskan tanpa segan silu. Tidak ada rasa berdosa. Seolah-olah dengan pergi haji, mereka itu mendapat “restu” untuk menerusakan amalan mungkar tanpa hadirnya dalam hati mereka ini rasa berdosa pada tuhan.

Terfikir juga, mungkinkah syaitan yang direjam berkali-kali ketika melontar Jamrah di Makkah kembali “tersenyum” apabila cara hidupnya kembali dijunjung dan disanjung oleh mereka yang melontar di sana? Lalu terpampanglah foto mereka yang bergaya dengan wajah syahdu dan tenang di hadapa Ka’abah, di masjid Nabawi, di Jabal Nur, dengan berkopiah atau dengan bertudung litup. Tetapi, apabila kembali ke tanah air, aurat mereka kembali terdedah dan mereka kembali galak bergaya dengan wajah menggoda dan mengancam.

Apakah ini perbuatan “bermain-main” dan tidak serius  dalam beragama seperti yang ditegur oleh Allah dalam Al-Quran? Nauzubillah. Tudung dan pakaian menutup aurat ada kalanya disarung untuk tujuan komersial. Atas kehendak skrip dan arahan pengarah. Alhasil, ada yang melakonkan watak baik dalam filem atau drama dengan pakaian wanita solehah tetapi kemudian menanggalkannya dalam realiti kehidupan. Memakai kembali pakaian mencolok mata.

Jika ditanya bila hendak menutup aurat, mak terdengarlah jawapan “standard” yang seiring kita dengar :

“Nantilah, satu hari nanti, Saya tidak mahu berpura-pura.”

Padahal dia boleh sahaja menutup aurat sepanjang berada di Tanah Suci. Pakaian menutup aurat bukan untuk beribadah sahaja. Ia pakaian wanita Islam setiap masa! Pergi mengerjakan umrah atau haji berkali-kali pun tidak boleh dijadikan justifikasi bagi membenarkan perbuatan sebegitu!

BERIBADAT TAPI MASIH BERMAKSIAT

“Rilekslah. Boleh jadi bila ke Makkah, mereka akan mendapat hidayah. Makkah bukan tempat orang yang baik-baik je, tetapi Makkah juga tempat bagi orang yang hendak memperbaiki diri,” kawan saya melontarkan pandangannya.

“Hmm, memang betul kau kata tu. Sudah ramai yang mendapat hidayah dan taufik ketika berada di Makkah dan Madinah.  Sifat Penyayang Allah tidak mengira sesiapa. Tak boleh aku menuduh siapa-siapa pun berpura-pura menujunya. Siapalah aku untuk menghukum,” akui saya.

“Tapi, ada rasionalnya juga apa yang kau cakap tu. Perlu juga. Aku pun sebenarnya risau masyarakat akan terkeliru.”

“Terkeliru? Bagaimana?”

“Aku bimbang masyarakat akan menerima konsep agama yang sebegitu. Aku bimbang sikap mengamalkan kebaikan tetapi pada masa yang sama meneruskan kemungkaran akan dianggap betul oleh masyrakat, diiakan dan diteladani.”

Itulah juga kebimbangan saya. Teringat saya pada satu kata-kata ulama’, membuang rasa berdosa ketika masih melakukan dosa adalah dosa yang lebih besar. Takut sekiranya saya terkena, anak-anak, isteri, dan anak-anak bangsa.

MISTERI DI TANAH SUCI

Di kedai-kedai buku sekarang ini masih terjual majalah atau buku yang memuatkan pelbagai kisah misteri yang berlaku di Tanah Suci. Kisah penzina yang tidak nampak Ka’abah. Kisah orang ego yang tersesat dalam Masjid Nabawi. Cerita orang yang makan rasuah terasa panas membahang dan meminta pulang. Macam-macam cerita aneh dan ajaib lagi.

“Takutlah nak ke Makkah,” kata kenalan saya satu ketika dahulu.

“Aik, kenapa? Bukankah semua orang hendak bercita-cita ke sana?”

“Takutlah, aku ni dah lah selalu buat dosa. Solat pun kadang-kadang lewat. Tak on time”

“Pergilah ke sana. Baiki diri sekarang dan bila ke sana, perhebatkan langkah taubat. Insya-Allah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita.”

“Aku takut…… aku takut tak nampak Ka’abah nanti!”

“Ya rabbi, inilah akibatnya terlampau banyak baca kisah misteri. Kau mesti buang semua anggapan tu. Baca Al-Quran dan hadis-hadis yang mendorong kita semua ke Makkah dan Madinah.”

Itu satu cerita. Satu cerita lagi yang berlawanan dengan cerita tadi.

“Aku tahu seorang ahli perniagaan yang kaki rasuah. Dapat projek ikut jalan tak betul. Macam-macam maksiat dia buat. Dengar cerita, dia pergi haji setelah berhujah bertahun-tahun yang tak sampai seru kepadanya.”

“Alhamdulillah, baguslah dah sampai seru.”

“Tapi malang…”

“Apa yang berlaku? Dia tidak nampak Ka’abah?” kata saya sekadar memeriahkan perbualan dengan input-input yang selalu dikatakan orang apabila orang “seumpama itu” pergi ke Makkah.

“Dia nampak. Macam orang biasa. Balik dari Makkah, dia makin “confident”  dengan maksiatnya! Sikap buruknya makin menjadi-jadilah!

“Kenapa jadi macam tu pula?”

Dia kata, “kau tengok aku, aku nampak Ka’abah, tak terasa panas, tak pernah sesat macam orang yang aku baca dalam majalah kisah misteri dan aneh tu. Itu menunjukkan aku okeylah kawan. Tuhan pun merestui aku. Kalau aku jahat, dah lama aku ditimpa insiden malang tu, macam dalam kisah-kisah misteri tu. Ini tak pun. Okey saja….”

Saya menggelengkan kepala. Inilah gugusan kisah misteri yang sepatutnya dikupas dan diperjelaskan berdasarkan wahyu dan sunnah. Betapa roh dan tujua sesuatu amalan sudah terlalu kabur akibat diselubungi pelbagai kepercayaan, kecenderungan, dan amalan yang jauh tersasar. Maka terciptalah “topeng-topeng” agama yang menyembunyikan wajah kejahatan dan kemungkaran yang semakin sukar dikesan dan dikenali.

Dan itu semua membenarkan apa yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah, ketika menjawab soalan seorang sahabatnya Abu Huzaifah tentang kebenaran yang akan muncul semula pada akhir zaman. Rasulullah menjawab,

“Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan.”

Maksudnya, kebenaran akan muncul buat kali yang kedua tetapi kali ini di tengah-tengah banyaknya kesamaran!

Demikianlah kisah-kisah “Karamah” daripada Makkah. Manusia ghairah mencari yang luar biasa sehingga terlupa bahawa yang luar biasa itu sebenarnya ialah ikhlas, istiqamah, sabar, khidmat dan iltizam dalam beragama. Ramai yang lupa bahawa roh daripada mengerjakan haji itu dan umrah di Tanah Suci itu adalah bangunnya jiwa perjuangan untuk menyucikan semua tanah yang kita pijak sekembalinya kita dari sana.

Ulama’ tersohor zaman ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi, pernah berkata:
“Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga!”

Tanamlah benih itu di sini, di sana dan di mana-mana jua. Itulah semangat jihad tiga perempat daripada 124,000 para sahabat Rasulullah SAW yang meninggal dunia di luar Makkah dan Madinah!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: