MENCARI HUJAH UNTUK BERHIJRAH

AISHETERU MUHAHAMMAD!

Aku memetik suis radio. Teringin rasanya untuk mendengar radio. Secara kebetulan deejay IKIM.fm baru memainkan lagu In-team, Pemergianmu. Aku terkesima lalu terduduk sambil menghayati bait-bait lagu:

Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan
Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira
Menunggu saat ketikanya
Di angkat rohmu bertemu Yang Esa


Air mata mula mengalir deras. Aduh, aku tidak mampu bertahan!

Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat
Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu

Aku mula mendapatkan buku sirah perjalanan hidup kekasih Allah SWT yang telah kakakku hadiahkan kepada ibu. Teringin rasanya hendak membaca kisah kewafatan junjungan besar yang telah banyak berjasa itu. Sambil itu aku mengesat air mata yang entah mengalir tanpa henti-henti. Hiba.

Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusiakan mati akhirnya
Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya
Ya Rasulullah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu

Ya Rasulullah, aku merinduimu! Usai mendengar lagu yang penuh bermakna itu, tanganku dengan cepat berlari pada buku sirah itu. Menyelak sehelai demi sehelai. Jika novel mampu pula untuk menghabiskan dalam satu hari, tetapi apabila buku sirah? Jika novel-novel bukan main boleh ceritakan ‘full story’ pada rakan tetapi riwayat hidup Rasulullah SAW? Mampukah aku ceritakan? Apabila menonton cerita-cerita Korea dan Hindustan bergulung-gulung tisu digunakan untuk mengelap air mata, tetapi apabila kisah kesusahan dan kesengsaraan yang dihadapi kekasih Allah SWT itu, sampai tahap itukah aku menghayatinya? Inikah aku yang mengatakan umat Muhammad tetapi perjuangan dan pengorbanannya dalam menyebarkan dakwah tidak aku hargai. Aku telah melukakan hatimu, ya Rasulullah!

SAKIT DAN WAFATNYA RASULULLAH SAW


Nabi mulai sakit sekembali dari Haji Wida’. Nabi mula diserang sakit kepala dan beberapa hari kemudian diserang demam panas yang ringan. Aisyah r.a menyangka bahawa baginda hanya bergurau dengannya lantaran Aisyah r.a pada ketika tersebut sedang sakit kepala. Walaupun sedang menderita sakit kepala yang kerap, namun Nabi tidak mengalpakan kebiasaan baginda mengililingi rumah-rumah semua isteri baginda setiap lepas sembahyang Asar. Selama bulan Safar tahun ke-11 hijrah itu kesihatan Nabi terus terganggu. Kadang-kadang ianya sembuh buat beberapa ketika.
Sepanjang tempoh itu, meskipun sakit, baginda mahu menyiapkan pasukan ke Syam demi kepentingan agama dan negara Islam yang sudah teguh itu. Baginda tidak mahu negara Islam terancam oleh kuasa kafir. Rasulullah SAW telah menghantar pasukan Usamah bin Zaid ke Ubna. Setelah siap pasukan dibentuk, maka Nabi menghantar pasukan itu ke luar kota Madinah, iaitu ke Baqi’.Setelah itu, Nabi memberikan amanat kepada Usamah bin Zaid.
Setelah dua hari angkatan tentera Usamah bin Zaid sedang berkhemah di Jaraf sementara menunggu perintah Nabi pada bila-bila masa sahaja untuk berangkat ke Ubna, tiba-tiba pada 28 Safar, Nabi merasa kepala baginda sakit semula, serta badan baginda diserang demam panas yang tinggi suhunya. Ketika itu baginda berada di rumah isteri baginda yang bernama Siti Maimunah binti al-Harith. Nabi sangat berkeinginan sekali untuk tinggal di rumah Siti Aisyah r.a selama baginda sakit itu.
Nabi yang merasakan tidak akan sembuh atau kembali sihatseperti sebelumnya telah bertanya kepada semua isteri-isteri baginda yang dating berkumpul di sekeliling baginda di rumah Siti Maimunah binti al-Harith, dimanakah baginda seharusnya bermalam? Mereka yang tahu maksud Nabi yang mahu berpindah ke rumah Siti Aisyah kerana dialah isteri baginda yang paling baginda cintai, telah sepakat membenarkan Nabi berpindah ke rumah Siti Aisyah r.a.
Pada suatu hari, menjelang masuknya waktu Isya’, Nabi masih mahu mengimami sembahyang Isya’ berjemaah bersama-sama para sahabat baginda. Tetapi baginda merasa tidak larat lagi untuk menjadi imam. Ini kerana baginda merasa demam baginda terlalu berat sekali dan sakit kepala bertambah-tambah mendenyut-denyut. Lalu baginda memerintahkan supaya Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq naik menjadi imam menggantikan baginda. Sejak hati itu, Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq menjadi imam sembahyang setiap kali waktu sembahyang sehingga baginda kembali sembuh.
Selama baginda sakit, puteri bongsu baginda yang paling baginda cintai iaitu Siti Fatimah selalu dating menjenguk ayahandanya. Boleh dikatakan setiap hari Siti Fatimah dating menjenguk Nabi semenjak baginda tidak sihat, demam panas dan sakit kepala itu. Ketika dia masuk menjenguk ayanandanya yang sudah menjenguk ayahandanya yang suhu demamnya sudah mencapai puncaknya, dia berkata kepada Nabi;
“Aduh! Alangkah beratnya penderitaan ayahandaku. Aduh! Alangkah beratnya penderitaan ayahandaku. Aduh! Alangkah beratnya penderitaan ayahandaku.”
Lalu dijawab oleh Nabi dalam keadaan keletihan sakit;
“Tidak akan ada  lagi penderitaan ayahmu selepas hari ini.”
Kemudian Nabi berbisik kepada Siti Fatimah dengan diperhatikan Aisyah r.a. Selepas baginda berbisik itu, Siti Fatimah tiba-tiba menangis. Ini menghairankan Siti Aisya. Kemudian baginda berbisik lagi ke telinga Siti Fatimah, tiba-tiba puteri Nabi itu ketawa. Ini menjadikan Siti Aisyah r.a. semakin hairan.
Ketika ada kesempatan, Siti Aisyah r.a bertanya kepada Siti Fatimah tentang perkara itu. Tanya Siti Aisyah kepada Siti Fatimah;
“Wahai Fatimah! Apakah yang telah dibisik oleh Nabi kepada engkau?”
“”Aku tidak akan membuka sesuatu rahsia yang beliau perintahkan kepadaku supaya aku menyimpannya baik-baik.” Jawab Siti Fatimah tegas.
Tetapi setelah Nabi wafat,, Siti Aisyah terus mendesak Siti Fatimah supaya memberitahu kepadanya rahsia Nabi yang dibisikkan ke telinganya itu. Akhirnya Siti Fatimah membuka juga rahsianya kepada Siti Aisyah. Ceritanya kepada Siti Aisyah;
“Bisikan Nabi pertama menyatakan sakit beliau adalah sakit akan wafat. Itulah sebabnya aku menangis. Sesudah itu beliau bisikkan lagi kepadaku, bahawa akulah orang yang pertama dia antara keluarga beliau yang akan segera menyusul beliau, itulah sebabnya aku ketawa.”
Tetapi riwayat lain menyatakan Siti Fatimah berkata;
“Nabi telah memberitahu kepadaku bahawa bisikan yang pertama, begini; Jibrail telah dating kepadaku mengajar al-Quran sekali setiap tahun. Tetapi pada tahun ini dia telah dating kepadaku mengajar al-Quran sampai dua kali. Oleh itu aku berpendapat ajalku telah dekat. Maka dari kerana itu hendaklah engkau berbakti kepada Allah dan hendaklah bersabar. Itulah sebabnya aku menangis. Setelah beliau melihat aku menangis, resah dan gelisah, beliau bisikkan lagi kepadaku, beliau berkata, “Tidakkah engkau ingin bahawa engkau akan menjadi perempuan terkemuka di syurga di antara seluruh perempuan mukmin? Itulah sebabnya aku ketawa.”
Dalam masa baginda sedang sakit teruk itu, baginda teringat mengenai wang tujuh dinarnya yang terletak dibawah bantal baginda. Baginda tidak mahu setelah baginda wafat, wang yang sebanyak itu masih ada tersimpan dalam rumah baginda tanpa disedekahkan. Menjelang hari Ahad 11 Rabiul Awwal, sehari sebelum baginda wafat, sekali lagi baginda menyebut wang tersebut kepada isteri-isteri baginda.  Baginda bertanya kepada Siti Aisyah, apakah wang tersebut sudah disedekahkan? Siti Aisya menjawab wang itu masih belum diusik lagi. Maka Nabi meminta supaya wang tujuh dinar itu diberi kepada baginda.  Setelah Siti Aisyah meletak wang tujuh dinar itu kedalam telapak tangan Nabi, maka baginda bersabda;
“Bagaimana jawab Muhammad kepada Tuhanya, andaikata dia dating mengadap Tuhannya, sedang ini masih ada padanya?”
Lalu baginda menyedekahkan kesemua wang emas tujuh dinar itu kepada kaum fakir miskin yang ada di Madinah.
Pada subuh 12 Rabiul Awwal tahun ke-11 Hijrah itu, kesihatan Nabi telah kembali pulih. Kesihatan badan baginda seperti sudah benar-benar sembuh seperti keadaan baginda sebelum sakit. Nabi menjadi makmum kepada Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq pada waktu Subuh pagi itu. Maka gembiralah para sahabat Nabi dan mereka bubar dari dalam masjid keluar pergi mengurusi keperluan hidup masing-masing. Hanya beberapa orang sahaja yang masih duduk dalam masjid kerana beribadat dan berzikir.
Menjelang waktu pagi ketika matahari sedang merangkak naik di waktu Dhuha, Nabi tiba-tiba telah diserang sakit kepala yang hebat dan demam panas seperti sebelumnya. Ketika itu baginda sudah pun berada dalam pangkuan isteri baginda yang paling baginda cintai, Siti Aisyah. Dalam keadaan kepala baginda bersandar kepada dada Siti Aisyah. Nabi sungguh-sungguh sangat lemah. Aisyah memberikan kayu sugi kepada baginda memandangkan baginda ingin bersugi. Nabi menggosok gigi baginda dengan bersunguh-sungguh dengan kayu sugi itu. Setelah selesai bersugi, Nabi Muhammad memandang ke langit dengan suara:
“Tiada Tuhan melainkan Allah. Sesungguhnya dalam kematian ada sakarat. Wahai Allah! Tolonglah aku dari kepayahan maut. Wahai Allah! Tolonglah aku dari kepayahan maut.”
Setelah mendengar itu, maka Siti Aisyah menyuruh orang pergi memberitahu ayahnya. Hafsah suruh beritahu bapanya dan Siti Fatimah menyuruh orang pergi beritahu suaminya. Tetapi ketiga-tiga sahabat yang paling terkemuka itu tiada dirumah masing-masing. Mereka bertiga berada di tempat yang tidak diketahui. Cuma Abu Bakar seorang sahaja yang diketahui sedang berada di desa Sunuh di rumah salah seorang isterinya anak Kharijah.
Kemudian kedengaran pula Nabi yang sedang dalam sakarat menyebut;
“Wahai Allah! Kasihanilah aku, ampunilah aku, pertemukanlah aku dengan ar-Rafiq.”
Kemudian dengan suara yang agak serak, baginda berkata lagi;
“Beserta mereka yang diberi nikmat oleh Allah, dari para Nabi, para siddiq, para syuhada’ dan para salihin dan mereka itulah sebaik-baik rafiq.”
Kemudian dalam keadaan yang tidak berubah dengan bersandar didada Siti Aisyah dengan mata memandang ke atas, Nabi terus bersuara lagi;
“Wahai Allah! Dalam ar-Rafiq yang tinggi. Wahai Allah! Dalam ar-Rafiq yang tinggi. Wahai Allah! Dalam ar-Rafiq yang tinggi.”
Nabi mengulang menyebutnya tiga kali. Kemudian menyebut pula;
“Bahkan ar-Rafiq yang tinggi dari syurga.”
Setelah itu Siti Aisyah memegang tangan kanan Nabi menjadikan seperti sedang berdoa.
Kemudian Siti Aisyah membaca dengan doa yang baginda ajarkan kepada kaum Muslimin.
Setelah selesai Aisyah meraupkan tangan baginda ke muka baginda. Tetapi dengan segera Nabi menarik tangan baginda dan berkata;
“Wahai Allah! Ampinilah aku. Jadikanlah aku didalam ar-Rafiq yang tinggi.”
Ternyata Nabi tak mahu lagi mendoakan kesembuhan. Baginda sudah memilih untuk kembali kepada Tuhannya Yang Maha Tinggi.
Kemudian dengan tenang Nabi mengucap;
“Maha Agong Tuhanku Yang Tinggi. Sesungguhnya aku telah menyampaikan.”
Inilah ucapan yang terakhir yang diucapkan oleh Nabi. Dengan ucapan ini maka wafatlah Nabi yang mulia. Ketika itu usia Nabi ialah 63 tahun 3 hari (perhitungan qamariah). Manakala  61 tahun 84 hari (perhitungan syamsiah). Nabi Muhammad yang telah mengorbankan hidupnya dan hartanya untuk Allah, agar dakwah Islamiyyah sampai kepada ummatnya., Ketika itu Nabi masih bersandar di dada Siti Aisyah.
Setelah jelas Nabi sudah wafat, Siti Aisyah meletakkan jenazah baginda ke atas sebuah bantal. Kemudian dia menangis dengan memukul-mukul mukanya dan dadanya dengan kuat. Dia menangis bersama-sama dengan isteri-isteri Nabi yang lain dan juga Siti Fatimah. Berita wafatnya Rasulullah telah sampai kepada Sayyidina Umar al-Khattab. Beliau merupakan orang yang pertama dalam kalangan sahabat terkemuka yang pertama sekali mendengar berita tersebut. Beliau mengumumkan kepada orang ramai bahawa baginda hanya pengsan, belum wafat seperti kisah Nabi Musa mengadap Allah di atas Bukit Thursina selama empat puluh hari. Umar juga mengancam orang ramai kalau ada yang berani bercakap mengatakan Nabi sudah wafat, orang itu akan dihukum dengan seberat-berat hukuman.
Sejurus mengetahui hal tersebut, Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq segera mententeramkan Umar dan orang ramai. Abu Bakar mendekati jenazah baginda lalu membuka kain yang menutupi wajah baginda dan berkata;
“Alangkah wanginya engkau dalam keadaan hidup dan dalam keadaan sudah wafat. Demi Allah! Demi bapa dan ibuku, wahai Rasulullah, sesungguhnya kematian yang telah ditetapkan oleh Allah keatasmu telah engkau rasai. Dan sesudah ini engkau tidak akan merasai mati lagi buat selama-lamanya.”
Lalu Sayyidina Abu Bakar meminta kebenaran Sayyidina Umar untuk berkata sesuatu seketika.  Beliau berkata kepada orang ramai;
“Wahai manusia! Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad sudah wafat. Dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah tetap hidup tidak akan mati-mati.”
Kemudian Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq membaca sepotong ayat al-Quran dalam Surah ali-‘Imran ayat 44 yang bermaksud;
“Tidaklah Muhammad itu melainkan seorang Rasul. Telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah setelah dia wafat atau terbunuh kamu semua akan berpaling ke belakang (menjadi murtad)? Sesungguhnya barangsiapa yang berbalik kebelakang, maka Allah tidak akan rugi sedikitpun. Sesungguhnya Allah akanmembalas terhadap orang-orang yang bersyukur.”
Setelah mendengar Abu Bakar membaca ayat-ayat itu, maka lemah longlailah seluruh anggota badan Sayyidina Umar al-Khattab sehingga kakinya tidak dapat berdiri lagi di atas tanah. Lalu dia jatuh tersungkur di atas bumi. Dahinya segera diletakkan ke atas tanah. Minta ampun kepada Allah SWT yang maha Pengampun atas keterlanjurannya yang tidak mahu menerima hakikat yang telah ditetapkan oleh Allah. Sayyidina Umar bin al-Khattab sangat dukacita di atas kewafatan Nabi itu dan dia menangis tersedu-sedu.

Aku terus menarik tisu. Mengesat air mata yang deras mengalir. Betapa cintanya para sahabat terhadap Baginda. Sakitnya baginda yang maksum menanggung sakaratul maut. Aku? Bagaimanakah aku akan menghadapi sakaratul maut dengan dosa-dosa yang bergunung tinggi? Mampukah aku bertahan? Ya, Allah! Aku sangat takut, ya Allah! Ya Muhammad! Betapa mulianya engkau disisi Allah. Engkau yang mulia menegakkan agama Allah. Aku? Tidak sedikit pun aku hargai pengorbanmu.

Aisheteru Muhammad! Aisheteru Muhammad!

Rujukan:
Maulana Syed Abul Hassan Ali an Nadwi. Riwayat Hidup Rasulullah: Sejarah Dan Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW. Warisan Ilmu Publications: Kuala Lumpur, 2009.

Advertisements

Comments on: "AISHETERU MUHAHAMMAD!" (5)

  1. anonymous said:

    erm, kalau boleh buat spacing sikit ye. susah nak baca. but entri yang menarik. mabruk.

  2. mumtazahiqa said:

    sedih 😦

  3. Alhamdulillah said:

    alhamdulillah semoga anda teruskan berdakwah … 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: