MENCARI HUJAH UNTUK BERHIJRAH

Macam Mana Nak Jadi Baik?

Renovate Hati Dengan Solat

Jika ingin membaiki dunia, kita perlu baiki manusia. Untuk membaiki manusia, kita perlu baiki hatinya. Untuk membaiki hati, kita mesti bermula dengan memperbaiki solat.

Itulah ungkapan yang sering saya lontarkan ketika majlis tazkirah di surau MRSM, dalam sembang-sembang santai bersama rakan dan juga ketika diri ini berasa lemahnya iman. Saya yakin inilah formula dan sifir bagi membentuk peribadi seseorang muslim itu. Saya tidak jemu-jemu mengulang ungkapan itu buat diri saya yang mudah lalai ini.

Ungkapan itu sebenarnya satu kesimpulan atau outcome yang terhasil daripada satu pertanyaan yang pernah diajukan oleh seorang rakan saya di MRSM Taiping kepada saya ketika kami berbual-bual santai.

“Kalau kita nak baiki diri ni, kita kena mula dari mana? Apa pendapat kau?”

“Mulakan dengan memperbaiki solat,” cadang saya.

“Mengapa solat?”

“Kau nak jadi baik bukan?”

“Kau jawab soalan dengan soalan ni,” katanya tersenyum. Tapi, kemudiannya dia mengangguk, mengiakan.

“Kalau nak jadi baik perlu solat……”

“Bukan sebaliknya?”

“Maksud kau?”

“Maksud aku, orang yang baik itu ialah orang yang solat. Tak ada pula aku tengok orang jahat ni solat.”

“Itu betul juga, tapi aku lebih suka untuk mengatakan kalau nak jadi baik perlu solat.”

Dia ketawa. Mungkin seronok sembang santai begini berbanding tazkirah di surau.

“Agaknya, kenapa kau kata begitu ya? Cuba jelaskan sedikit.”

Saya begitu senang dengan keramahannya. Dia banyak memberi laluan untuk saya bercakap. Terasa segan diraikan begitu.

Saya pun menceritakan kepadanya bagaimana satu ketika diriwayatkan bahawa Abu Hurairah telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang orang yang mengerjakan solat tetapi masih mencuri. Abu Hurairah bertanya bagaimana keadaan orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri.

“Tapi kalau orang itu masih jahat juga setelah mengerjakan solat, bagaimana?”

“Itu yang aku katakan, seseorang itu perlu membaiki mutu solatnya. Perbaiki solat…. bila solat dah baik, insya-Allah orang itu akan jadi baik.”

HARDWARE DAN SOFTWARE SOLAT

Solat Itu Juga Doa

“Bagaimana nak perbaiki solat?”

“Mulakan dengan mencari ilmu tentang kesempurnaan solat, hardware dan softwarenya.

“Wah, solat pun ada software dan hardwarenya?” Terkejut dia dan hampir tertawa. Istilah yang  tidak diguna pakai dalam kitab agama.

“Hardware solat tu tentang rukun fi’li atau perbuatan fizikalnya seperti berdiri tegak (qiam), rukuk, dan sujud.”

“Softwarenya pula?”

“Rukun qauli, pada makna bacaannya di lidah dan rukun qalbi pada rasa yang bersemi di hati.”

“Macam mana nak buat tu?”

Saya begitu kagum dengan beliau. Terus bertanya tanpa segan silu. Bertanya untuk mengelakkan salah faham dan tafsiran yang menyimpang dari mesej yang murni.

Sikap positifnya mengingatkan saya pada satu ungkapan : “Kalau kita menyoal kita kelihatan ‘bodoh’ 5 minit, tetepi kalau kita tidak menyoal, kita akan bodoh selama-lamanya.”

“Cari makna bacaan surah al-Fatihah.. bukan setakat itu sahaja malah cari tafsirannya. Sematkan dalam hati. Cari falsafah atau simbolik daripada perlakuan qiam, rukuk dan sujud.”

“Oh, jadi, bukan setakat tahu sah, batal, halal, haram dan sunatnya sahaja?”

“Itu pun ya juga. Tetapi itu hanya awalan. Perlu dilanjutkan lagi hingga kita memahami malah menghayati semua rukun-rukun solat bukan sekadar tahu.”

“Kita perlu jaga tujuh anggota sujud kan?”

“Ya, itu permulaan. Lanjutkan dengan menghayati rasa hina diri, harap, takut, malu dan takjub dengan kekuasaan Allah dalam sujud kita… itu yang seringkali kita lupa untuk jaga. Itu juga yang lebih penting.

“Jadi, itulah yang kau maksudkan dengan software solat?”

Saya mengangguk. Saya tegaskan kepadanya itulah rasa-rasa yang perlu ada dalam hati ketika melaksanakan rukun qauli (bacaan) dan rukun fi’li (perbuatan) dalam solat. Itulah roh solat, manakala yang lain hanya jasad. Umpama  penciptaan manusia, ada roh dan jasad, maka lengkaplah penciptaannya dan layak dipanggil solat. Begitu juga dengan solat, ada roh dan jasad, lengkaplah solat tersebut.

Teringat saya amaran daripada Imam Al-Ghazali, bahawa jka solat dipersembahkan kepada Allah tanpa ada sebarang rasa, sama keadaannya dengan mempersembahkan bangkai yang tidak bernyawa.

“Rasa takut, harap, kagum, malu dan hina itulah yang membentuk khusuk?” tanyanya.

Saya mengangguk lagi.

NAK JADI BAIK MEMANG LAMBAT

Syaitan Selalu Menggangu Ketika Solat

Kemudian sembang santai kami berlanjutan sehingga menyentuh soal khusyuk.

“Kalau tak khusuk, semacam tak berguna kita solat. Betul tak?”

“Betul. Tapi nak khusyuk perlulah kita solat dulu. Khusyuk itu perlu dicari, bukan ditunggu. Perlahan-lahan kita tingkatkan mutunya.”

“Mesti lambat kan?”

“Semestinya. Nak jadi baik memang lambat. Membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata.”

“Oh ya, kita asyik bincangkan orang yang solat…tapi bagaimana orang yang tak solat langsung. Macam mana mereka nak jadi baik? Tengok kawan-kawan kat maktab kita ni.”

“Perlu ajak mereka solat,” jawab saya pendek.

“Kenapa orang tidak mahu atau malas mengerjakan solat?” Soalan yang menjurus kepada satu persoalan.

Saya cuba menjelaskan bahawa punca orang yang enggan solat ialah apabila dia rasa tidak memerlukan Allah dalam kehidupannya. Dia tidak nampak atau terasa keagungan, kekuatan, kekayaan, dan lain-lain sifat kesempurnaan Allah.

“Kenapa jadi begitu?”

“Orang tidak nampak kebesaran Allah, sebab dirinya tidak berasa kekerdilan dirinya. Sebaliknya dia berasa dirinya atau makhluk-makhluk lain lebih besar. Jadi, pergantungan, dan pengharapannya bukan kepada Allah, tetapi kepada tuhan-tuhan lain selain-Nya.”

“Betul. Apa perlunya solat kepada orang yang begini? Dia rasa dirinya yang kuat, mulia, kaya, berilmu… tidak perlukan tuhan lagi. Dia bertuhankan dirinya,” tambahnya bersemangat.

“Atau dia merasakan ada pihak lain yang lebih berkuasa daripada dirinya, maka ketika itu ia bertuhankan pihak tersebut.”

“Menjadi hamba pada diri sendiri atau hamba kepada orang lain. Bukan hamba Allah? Tanyanya lagi.

Perlukah saya mengangguk lagi?

Advertisements

Comments on: "Macam Mana Nak Jadi Baik?" (3)

  1. Like like 😀

  2. sesungguhnya solat itu dapat mencegah mungkar.

  3. Amalinaanuar anuar said:

    Alhamdulillah terima kasih atas perkongsian ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: